Youtube antara penyedia video yang paling popular di dunia. Setiap hari beribu orang akan menonton pelbagai jenis video yang dimuat naik ke platform tersebut. Dahulu Youtube diperkenalkan tanpa paparan iklan di video-video yang ingin dilihat.
Namun, lama kelamaan ia mula diperkenalkan malah meningkat daripada satu video kepada dua video iklan dalam kes tertentu.
Satu berita yang kurang enak untuk dibaca, apabila kelak jumlah video iklan yang dipaparkan di awal video akan ditingkatkan kepada lima iklan pula.
Tular di Reddit, apabila pengguna mula memuat naik rakaman gambar yang menunjukkan lima iklan akan dimainkan sebelum video boleh dimainkan.
Menurut YouTube yang telah menjawab soalan orang ramai, iklan yang dimainkan lima kali berturut-turut itu adalah video iklan yang berdurasi bawah 6 saat setiap satu. Jadi, apabila lima video iklan dimainkan secara berterusan akan mengambil masa sehingga 30 saat sebelum sesuatu video sebenar dimainkan.
Bagi mereka yang tidak mahu diganggu oleh video-video iklan ini, hanya satu cara “halal” yang boleh dipertimbangkan untuk tidak menonton iklan-iklan tersebut iaitu dengan melanggan YouTube Premium pada kadar serendah RM17.90 sebulan.
Sumber: Reddit