in ,

Staycation Dan Filem Patriotik Sempena Hari Kebangsaan


Sumber: Pixabay

Seperti yang ramai sedia maklum, Hari Kebangsaan atau Kemerdekaan negara kita akan disambut pada bulan Ogos. Setiap tahun pasti dapat dirasai kemeriahan sambutan dan perarakan kemerdekaan, baik di kaca TV, di jalan raya mahupun di pusat membeli belah. Tapi kini malangnya kini sudah memasuki tahun ke-2 kemeriahan itu tak dapat dirasai. Rata-rata ramai yang sudah hilang semangat untuk mengibarkan bendera-bendera di balkoni rumah ataupun dipasang atas but kereta, umpama diri kini telah dijajah oleh penjajah baru, Covid-19. 

Setiap hari ada saja berita mengenai kes berkenaan Covid-19. Berita kesedihan bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga, tak kurang juga berita-berita bagaimana frontliners berhempas pulas berhadapan dengan Covid-19, itu belum lagi ditambah dengan pengumuman kes-kes jangkitan mahupun kematian. Jumlah kes yang meningkat bagaikan tiada sinar dihujung kegelapan. Tetapi jauh di sudut hati, masih tinggi harapan kita semua rakyat Malaysia semoga keadaan akan kembali pulih dan jumlah kes akan turun satu hari nanti supaya kita semua boleh menjalani kehidupan sedia kala dengan lebih baik.

Tak dinafikan sudah ramai merindui kampung halaman, tak kurang juga mereka yang termimpi-mimpi untuk kembali berjalan-jalan ke sana ke sini. Namun, akibat situasi pandemik sekarang yang bilangan kesnya semakin tinggi dan kehadiran variant-variant baru yang lebih ganas, maka ketakutan dan kerisauan yang tinggi menghalang kita semua untuk keluar rumah. Pendek kata, menghabiskan masa di rumah adalah langkah terbaik buat masa sekarang.

Namun begitu, duduk di rumah dalam jangka masa yang panjang boleh mengakibatkan emosi terganggu. Bila keadaan dah agak reda suatu hari nanti, mungkin kita boleh keluar bercuti dalam keadaan terkawal seperti staycation di hotel yang berdekatan. 

Tujuannya supaya dapat mengubah suasana persekitaran dan menggembirakan kita serta seisi keluarga apabila dapat keluar dari suasana yang suram sahaja untuk berbulan-bulan lamanya. Secara asasnya masih tidak dapat berjalan-jalan di luar, tetapi dapat merasai pengalaman yang sama seperti bercuti apabila dapat menginap di hotel. 

Walaupun hajat hati sebenarnya teringin untuk bercuti ke tempat-tempat menarik seperti di Langkawi, tapi dapat buat carian hotel in Langkawi pun sudah memadai untuk mengubati perasaan ‘teringin’ itu. Dan kalau terasa hendak berjalan-jalan ke shopping mall, gerakkan saja jari dan berjalan-jalan di dalam online shopping seperti Lazada dan Shopee. Tapi awas, sebab online shopping ni boleh jadikan korang ketagih.. daripada hanya ingin cuci-cuci mata, berbakul-bakul barang mungkin akan sampai ke rumah. Hahaha. 

Berbalik kepada cerita Hari Kebangsaan. Untuk bangkitkan rasa semangat kenegaraan kita sebagai rakyat Malaysia, mungkin korang juga boleh menonton filem-filem patriotik yang berkisarkan tentang peperangan, perjuangan dan filemadaptasi dari kisah-kisah benar dan sejarah negara kita.

Di sini aku senaraikan antara filem-filem yang boleh ditonton bersama keluarga.

1. Sarjan Hassan (1958)

Filem ini mengenai Sarjan Hassan yang berjuang demi kedaulatan negara semasa zaman perang dunia kedua. Tetapi kisah yang sebenar tidaklah sama seperti di dalam filem ini. Apa yang boleh kita ambil iktibar adalah semangat yang ditunjukkan.

2. Bukit Kepong (1981)

Diadaptasi dari kisah benar yang terjadi pada tahun 1950, mengenai perjuangan pihak polis menentang komunis. Filem arahan Tan Sri Jins Shamsudin dan dilakonkan oleh beliau sendiri bersama Datuk Yusof Haslam, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan ramai lagi. 

3. Matinya Seorang Patriot (1984)

Tentang kematian seorang pejuang politik veteran dan nasionalis yang bernama Haji Shahban dan kejadian huru-hara selepas kematiannya. Cerita tentang pergelutan kuasa, pergolakan keluarga dan kehancuran keharmonian sebuah kampung apabila kehilangan tokoh yang menyatukan. 

4. Leftenan Adnan (2000)

Berdasarkan kisah benar Leftenan Adnan Saidi yang berani menentang serangan Tentera Darat Jepun pada perang dunia kedua. Keberanian dan semangat juang yang ada boleh dicontohi.

5. Paloh (2003)

Adaptasi dari kisah penduduk daerah Paloh pada tahun 1944 yang terpaksa hidup dalam tekanan akibat konfrontasi antara Parti Komunis Malaya dan tentera Jepun. Tentang pergolakan dan huru-hara, antara yang ingin merdeka dan yang ingin terus dijajah.

6. 1957: Hati Malaya (2007)

Filem ini tentang golongan muda menghayati sejarah negara, erti kemerdekaan dan semangat nasionalisme. Dalam usaha menerbitkan buku 1957 – Hati Malaya, mereka menemui persahabatan, percintaan, kesetiaan dan perjuangan 1957. Filem ini juga terselit kisah benar mengenai perjuangan untuk kebebasan.

7. Tanda Putera (2013)

Adaptasi hubungan persahabatan yang akrab antara Tuna Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sejak peristiwa 13 Mei 1969. Walaupun terpaksa bertarung dengan masalah kesihatan, sikap dedikasi dan patriotisme kedua-dua pemimpin ini yang berjaya membawa kestabilan dan keharmonian negara wajar dijadikan inspirasi. 

8. Paskal (2018)

Juga berdasarkan dari kisah benar, tentang kepayahan dan kesulitan pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLMD) iaitu Pasukan Khas Laut atau PASKAL dalam misi merampas kembali kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden. Semangat perjuangan dan kesetiaan dipertontonkan dalam filem ini wajar dijadikan contoh.

Ada ke yang korang belum pernah tonton? Ke dah tonton semua?


Written by Hafiz Rahim

Social geek. Ambassador of the Planet Vegeta and alliance to the Autobot.

One Comment

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *