in

Pelan Perlindungan Diri KWSP i-Lindung Guna Akaun 2


Salah satu langkah baru kerajaan untuk membantu rakyat dalam menyediakan pelan perlindungan diri sekiranya berlaku situasi yang tak diingini. Secara positifnya, ada baiknya pelan sebegini diwujudkan kerana majoriti penduduk Malaysia masih berkira-kira untuk memiliki perlindungan sebegini.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan platform i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli untuk memudahkan pembelian produk insurans dan takaful merangkumi perlindungan hayat dan penyakit kritikal pada premium yang berpatutan serendah RM30 setahun daripada Akaun 2.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, dengan premium serendah RM30 setahun itu, jumlah perlindungan yang ditawarkan adalah sebanyak RM10,000.

Katanya, KWSP juga menyasarkan seramai 300,000 ahli (bagi tempoh setahun) akan melanggan pelan perlindungan ini yang boleh dibuat melalui platform i-Lindung dalam portal i-Akaun (Ahli) KWSP.

“Pelan Perlindungan Ahli ini menjadi satu lagi kejayaan KWSP dalam menyediakan saluran perlindungan sosial dan keselamatan kewangan kepada ahlinya sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

“Perlindungan melalui insurans dan takaful adalah antara komponen utama bagi kesejahteraan kewangan yang KWSP menggalakkan ahli untuk mendapatkannya, bagi melindungi mereka daripada ketidaktentuan kewangan.

“Kemudahan i-Lindung amat bermanfaat untuk ahli KWSP untuk mendapatkan perlindungan insurans atau takaful kerana pihak KWSP bersama-sama pihak syarikat insurans dan pengendali takaful ingin memastikan produk yang ditawarkan kepada ahli adalah pada kadar yang sangat mampu milik.

“Justeru, kemudahan i-Lindung ini diwujudkan dan KWSP yakin bahawa selain dapat membantu ahli mendapat perlindungan insurans dan takaful ia juga berupaya membantu merealisasikan hasrat negara untuk mencapai kadar penembusan insurans lebih daripada 70 peratus,” katanya di majlis pelancaran Pelan Perlindungan Ahli i-Lindung di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ahmad Badri berkata, KWSP turut bekerjasama dengan syarikat insurans dan pengendali takaful iaitu FWD Takaful Berhad, Prudential Assurance Malaysia Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Etiqa Life Insurance Berhad, dan Etiqa Family Takaful Berhad untuk menawarkan harga pakej perlindungan yang berpatutan supaya ahli KWSP yang berpendapatan rendah khususnya mampu untuk membeli insurans dan menyertai takaful.

Contoh pilihan pelan berdasarkan jenis perlidungan yang ditawarkan mengikut butiran peribadi.

Beliau berkata, pemain industri tempatan juga perlu memperluas pendekatan program insurans dan takaful, terutamanya untuk golongan B40 bagi memastikan ia lebih memenuhi keperluan perlindungan mereka.

“Saya yakin bahawa kemudahan i-Lindung ini akan memberikan manfaat yang sangat besar kepada ahli KWSP kerana perlindungan persaraan dan perlindungan insurans dan takaful adalah saling melengkapi,” katanya.

Bagi ahli di bawah umur 55 tahun yang mempunyai baki mencukupi dalam Akaun 2, warganegara Malaysia dan pengguna i-Akaun, layak untuk membeli produk di bawah i-Lindung.

Sementara itu, mereka yang berumur 55 tahun ke atas juga boleh membeli produk di bawah i-Lindung, dengan syarat mereka berada dalam lingkungan umur kelayakan produk berkaitan serta mengekalkan jumlah minimum RM100 dalam Akaun 55 atau Akaun Emas mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pelan Perlindungan Ahli i-Lindung, pengguna boleh melayari www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000.

FAQ

Apakah itu i-Lindung?

  • i-Lindung adalah platform layan diri di dalam i-Akaun (Ahli) untuk memberi kemudahan bagi pembelian produk perlindungan di bawah Pelan Perlindungan Ahli yang membenarkan ahli untuk melakukan pengeluaran dari Akaun 2 bagi membeli produk insurans dan menyertai produk takaful dari syarikat insurans dan pengendali takaful yang diluluskan oleh KWSP.

Apakah kelayakan untuk membeli produk di bawah i-Lindung?

  • Mempunyai baki yang mencukupi di dalam Akaun 2;
  • Warganegara Malaysia; dan
  • Pengguna i-Akaun (Ahli).

Bolehkah saya membeli produk di bawah i-Lindung dengan ejen insurans/takaful?

  • Tidak, pembelian produk di bawah i-Lindung hanya boleh dibuat secara dalam talian melalui i-Akaun (Ahli).

Apakah jenis perlindungan yang ditawarkan di bawah i-Lindung?

  • Perlindungan yang ditawarkan di bawah i-Lindung terdiri daripada perlindungan hayat dan penyakit kritikal.

Bolehkah saya membeli produk yang ditawarkan di bawah i-Lindung untuk pasangan dan anak-anak saya?

  • Buat masa ini, ahli hanya boleh membeli untuk diri sendiri sahaja.

Apakah tempoh perlindungan bagi produk yang ditawarkan di bawah i-Lindung?

  • Buat masa ini, perlindungan yang ditawarkan adalah selama 1 tahun.

Adakah saya perlu menjalani pemeriksaan perubatan atau kesihatan untuk membeli produk di bawah i-Lindung?

  • Tidak, anda tidak perlu menjalani pemeriksaan perubatan atau kesihatan. Namun, anda perlu menjawab beberapa soalan kesihatan (pengunderaitan) yang disediakan oleh SIT, jika perlu.

Written by Hafiz Rahim

Social geek. Ambassador of the Planet Vegeta and alliance to the Autobot.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *