Kiraan Dan Panduan Membayar Zakat Fitrah Secara Online

Arus pemodenan memberikan kesenangan kepada pengguna. Saban hari kita dapat melihat kewujudan perkakasan atau sistem teknologi yang banyak membantu memudahkan kita dalam urusan seharian.

Dalam Islam juga, pendekatan teknologi moden ini digunakan juga bagi membolehkan umat Islam beribadah dengan lebih mudah. Antaranya adalah pembayaran zakat fitrah melalui sistem online.

Umum mengetahui bahawa pembayaran zakat secara online adalah sah dari segi hukum syarak kerana akad zakat fitrah diantara pembayar zakat dan amil zakat yang selalu dipersoalkan oleh orang ramai itu adalah hanya perkara sunat sahaja.

Yang lebih penting untuk kita ketahui adalah niat, kadar minima zakat fitrah yang dikenakan dan perpindahan wang yang dikeluarkan.

Di Malaysia, bergantung kepada negeri masing-masing, tetapan kadar zakat fitrah ini adalah berlainan, yang mana sebagai contoh untuk negeri Selangor, kadar zakat fitrah adalah sebanyak RM7 seorang, yakni bersamaan dengan timbangan 1 gantang Baghdad ataupun 2.7kg beras.

Namun begitu, masyarakat Islam digalakkan untuk mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan. Ini kerana, tidak logiklah sekiranya kesemua umat Islam memakan beras yang sama harganya.

Realitinya telah diketahui bahawa dipasaran tempatan terdapat pelbagai jenis gred beras, sama ada yang mahal ataupun murah. Maka, bagi mereka yang mempunyai kekayaan dan berkemampuan amatlah digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang mereka makan.

Untuk memudahkan pemahaman, kiraan zakat mengikut harga beras yang dimakan adalah seperti berikut;

Sebagai contoh Tan Sri Ahmad makan nasi yang dimasak menggunakan beras Basmathi yang berharga RM12 sekilogram, maka zakat yang perlu dibayar oleh Tan Sri Ahmad adalah 2.7kg x RM12 yang bersamaan dengan RM32.40.

Sekiranya pula Tan Sri Ahmad mempunyai tanggungan sebanyak 4 orang, maka ia hendaklah didarab 5 termasuk dirinya; 2.7kg x 12 x 5 yang bersamaan dengan RM162.

Pembayaran secara bersemuka hendaklah dimaklumkan kepada penolong amil fitrah sekiranya pembayar zakat ingin membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan. Akan tetapi sekiranya pembayar zakat ingin membayar zakat fitrah secara online, dibawah adalah pautan (link) perkhidmatan pembayaran Zakat online yang boleh diguna pakai.

Atau sekiranya anda merupakan pelanggan Maybank, saluran pembayaran melalui Maybank2U juga boleh digunakan, dan dibawah adalah panduan untuk dijadikan rujukan.

1. Login id Maybank2u anda.

2. Pergi ke Accounts > Pilih bahagian Bill PaymentKlikMake a one-off payment.

3. Pada bahagian View all payees by category, pilih Zakat & Charity.

4. Pilih senarai Pusat Zakat mengikut negeri yang anda duduki (contoh Lembaga Zakat Selangor).

5. Pada bahagian Type of zakat, pilih 13 – Zakat Fitrah dan masukkan jumlah nilai yang ingin dibayar (rujuk pada jumlah bayaran yang ditetapkan setiap negeri)

6. Klik Continue dan selesaikan urusan pembayaran.

Kewajipan zakat fitrah adalah pelengkap kepada ibadah puasa Ramadan.

Semoga Allah Ta’ala membalas dengan sebaik-baik pada apa yang kamu berikan dan melimpahkan berkat pada hartamu yang tinggal.

Share jika bermanfaat.


1 KOMEN

  1. Baru saya tahu, zakat boleh dibayar melalui M2U. Saya ingatkan hanya boleh dibayar melalui portal pihak zakat terbabit.

    Kalau terdesak tidak sempat saja saya bayar online ni..selalunya bayar pada amil sahaja…dengan niat nanti amil zakat tu akan dapat sedikit daripada hasil zakat. Kerana amil yang kutip ada bahagiannya juga.

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen!
Sila masukkan nama disini