Seiring dengan pengumuman iPhone 8 dan iPhone 8 Plus semalam, pihak Apple membuat kejutan yang seterusnya dengan memperkenalkan satu lagi model iPhone bersempena dengan ulang tahun ke-10 Apple, iaitu iPhone X.
iPhone X yang hadir dengan rekaan yang lebih fresh, dikatakan bakal menjadi ikutan jenama-jenama lain dimasa akan datang. Melalui model ini ia dilengkapi dengan rekaan skrin secara menyeluruh dengan saiz skrin sebesar 5.8 inci, juga disertakan paparan Super Retina yang berketumpatan 458PPI – iPhone X adalah peranti pertama Apple yang menggunakan skrin OLED.
Perubahan paling ketara melalui iPhone X berbanding model-model sebelumnya, ia tidak lagi menyediakan butang fizikal bulat (Home) yang cukup sinonim dengan jenama iPhone. Sebaliknya, ia didatangkan dengan ciri baru yang dipanggil sebagai Face ID iaitu fungsi imbasan wajah untuk mengakses peranti setelah dikunci, dan dalam masa yang sama iPhone X juga menggunakan sokongan gesture untuk balik ke paparan home.
Turut diberi sentuhan terkini apabila kamera hadapan iPhone X diberikan fungsi baru yang dipanggil dinamakan Animoji. Melalui fungsi Animoji yang menggunakan teknologi Truedepth Camera ini, mana-mana pengguna yang menggunakan iPhone X boleh merakamkan gerakan wajah sendiri untuk menghasilkan watak emoji beranimasi.
Seperti iPhone 8, iPhone X turut dilengkapi dengan dwi-kamera yang dilengkapi dengan aperture f/1.8 dan juga f/2.4. Dalam masa yang sama, iPhone X turut menyokong video gerakan perlahan serta penstabilan imej optikal bagi membolehkan pengguna untuk merakamkan gambar dan video yang lebih baik berbanding model-model sebelumnya.
Secara teknikalnya pula, spesifikasi iPhone X dilihat hampir menyerupai iPhone 8 dan iPhone 8 Plus, dimana ia dijana menggunakan cip pemprosesan A11 Bionic enam-teras, selain ia turut dilengkapi dengan cip GPU dan ISP yang direkabentuk oleh Apple sendiri. iPhone X turut menyokong pengecasan tanpa wayar disamping menggunakan rekaan kalis air dan debu.
https://youtu.be/K4wEI5zhHB0
Dengan talaan terbaru ini, pihak Apple mendakwa bahawa secara keseluruhannya masa penggunaan iPhone X dapat dilanjutkan lebih 2 jam berbanding iPhone 7. Dan difahamkan bahawa iPhone X akan mula memasuki pasaran bermula pada 3 November 2017 ini yang mana ianya akan ditawarkan dalam variasi storan 64GB dan 256GB pada harga serendah $999 (~RM4203). Amacam? Worth it or not?
namapun apple kan…apa yang ditawarkan tu setanding dengan harga …cuma pengguna kena pandai guna semaksima yang boleh….bukan sekadar untuk selfie wasap fb wechat….ehehehehehe