in

iPhone 8 dan iPhone 8 Plus Dilengkapkan Dengan Pengecasan Tanpa Wayar


Sudah menjadi kebiasaan Apple dimana mereka akan mengadakan satu acara khusus bagi memperkenalkan produk-produk baru keluaran mereka. Terkini bertempat di Steve Jobs Theater, iPhone generasi baru iaitu iPhone 8 dan iPhone 8 Plus diperkenalkan.

Menggunakan rekaan yang dikemaskini tapi masih lagi rekaan luaran menampakkan bayangan kepada iPhone 6 dan 7, perbezaan dengan iPhone 8 dan iPhone 8 Plus boleh dilihat melalui panel kaca di bahagian belakang bagi membolehkan pengecasan tanpa wayar berfungsi.

iPhone 8 yang hadir dengan skrin bersaiz 4.7-inci dan dilengkapkan dengan sokongan Retina HD, manakala bagi iPhone 8 Plus pula ia hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan Retina HD.

iPhone 8 dan iPhone 8 Plus yang kedua-dua menyokong fungsi pengecasan tanpa wayar  dilihat menggunakan aksesori sama seperti fungsi pengecasan tanpa wayar peranti-peranti jenama lain, yang mana hanya dengan menggunakan pad pengecas Qi standard yang mudah didapati di pasaran, pengguna perlu meletakkan iPhone 8 atau iPhone 8 Plus diatas pad pengecas dan kemudiannya ia akan dicajkan.

Melengkapkan iPhone generasi baru ini, iPhone 8 dan iPhone 8 Plus didatangkan dengan cip pemprosesan baru iaitu Apple A11 Bionic. Dikatakan bahawa cip terbaru enam teras keluaran Apple ini menawarkan prestasi yang lebih tinggi, dimana dua daripada terasnya berkelajuan 25% lebih laju berbanding cip pemprosesan A10, manakala empat teras selebihnya memberikan kelajuan 70% lebih laju berbanding cip model lama.

Melalui iPhone 8 atau iPhone 8 Plus ini juga, Apple turut mengumumkan bahawa mereka menggunakan cip GPU baru yang lebih berkuasa dan direkabentuk oleh mereka sendiri – dimana melalui cip tersebut, hanya separuh kuasa diperlukan bagi menghasilkan prestasi yang sama seperti yang mampu dicapai oleh A10.

Untuk fungsi kamera pula, iPhone 8 hadir dengan sokongan satu kamera belakang, sementara itu pula iPhone 8 Plus dilengkapkan dengan dwi-kamera di bahagian belakang.

Bagi kedua-kedua model, iPhone 8 menggunakan sensor 12-megapixel baru dengan sokongan penstabilan imej optikal, sementara itu untuk iPhone 8 Plus pula dwi-kamera disertakan aperture f/1.8 dan f/2.8, yang juga menggunakan sensor 12-megapixel baru dan turut hadir dengan sokongan penstabilan imej optikal.

Bersama-sama dengan rekaan ISP, Apple turut menyertakan algoritma encoder tersendiri. Yang mana fungsi rakaman video terdapat penambahbaikan yang mampu merakamkan video 4K/60fps dan video gerakan perlahan pada resolusi 1080p/240fps, sekaligus mengalahkan iPhone 7 pada kadar 120fps sahaja.

Kamera pada iPhone generasi baru ini selain digunakan untuk tujuan rakaman gambar dan juga video, turut boleh digunakan untuk penghasilan Augmented Reality – gabungan kandungan maya dan juga kandungan sebenar.

Dan akhir sekali, seperti kebanyakan telefon pintar yang dijual dipasaran, iPhone 8 dan iPhone 8 Plus ini hadir dengan sokongan tahan debu dan air, serta ditawarkan dalam tiga pilihan warna; iaitu silver, space gray dan juga gold.

Kedua-dua model akan mula dijual di beberapa buah negara, termasuk Singapura bermula 22 September ini. Dan ia ditawarkan dalam variasi storan 64GB dan 256GB, yang mana harga pasaran di Amerika Syarikat adalah bermula daripada $699 (~RM2941). Tidak diketahui bilakah model terkini iPhone ini akan memasuki pasaran Malaysia.


Written by Hafiz Rahim

Social geek. Ambassador of the Planet Vegeta and alliance to the Autobot.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *