in

Beraya Aidilfitri Ketika Wabak Covid-19 Dan Kenangan PKP


24 Mei 2020 – Pertama kali dalam sejarah. Bukan untuk aku je, tapi untuk semua orang dalam Malaysia ni. Bilamana hari raya Aidilfitri disambut dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, tak dibenarkan ziarah ke mana-mana rumah sanak saudara ataupun sahabat handai. Malah bukan saja ziarah raya.. solat raya kena berjemaah sendiri dirumah, khutbah raya baca sendiri, dan paling syahdu.. masak rendang makan sendiri, beli kuih raya pun makan sendiri je. New normal betul.

Perbezaan raya kali ini lebih dirasai apabila bukan dewasa je yang faham, malah kanak-kanak pun sama.. apabila disuruh anak-anak pakai baju raya, abang Khair yang baru berumur 8 tahun tu dah boleh jawab.. “Ala pakai baju raya bukan pergi raya pun“.

Hahaha. Adoyai. Sorry anak, bukan daddy mu ini tak nak bawak korang semua pergi beraya. Tapi memandangkan wabak Covid19 ini menakutkan, daddy lagi sanggup tak beraya kat rumah orang daripada merisikokan korang dengan ancaman virus durjana ini. Lagipun kalau ditangkap pihak berkuasa, kena kompaun RM1000 terus tanpa kompromi.

Daripada kena virus.. daripada kena bayar kompaun.. baik daddy bagi korang makan sedap-sedap kat rumah. New normal anak-anak.. new normal. Anggap je la ini kenangan manis yang akan dikenang sampai bila-bila ya. 🙂

Kenangan PKP

By the way, sebagai kenangan dan sejarah yang tak mungkin akan dilupakan.. ini adalah catatan perjalanan tempoh PKP untuk rujukan dimasa akan datang.

  • PKP Fasa 1: 18 March 2020 – 31 March 2020
  • PKP Fasa 2: 1 April 2020 – 14 April 2020
  • PKP Fasa 3: 15 April 2020 – 28 April 2020
  • PKP Fasa 4: 29 April 2020 – 12 Mei 2020
  • PKP Fasa 5: 13 Mei – 9 Jun 2020 (PKPB)
  • PKP Fasa 6: 10 Jun – 31 Ogos 2020 (PKPP)

*PKPB – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
*PKPD – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan. Sesetengah tempat zon merah dikenakan perintah kawalan ini.
*PKPP – Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan

Perintah Kawalan Pergerakan seluruh negara

  1. Berlakunya pembelian panik sehingga hand sanitizer dan roti Gardenia menjadi rebutan ramai. Rak-rak di kedai runcit dan supermarket menjadi kosong. Tisu juga tidak ketinggalan menjadi hot item yang adakalanya boleh mencetuskan pergaduhan.
  2. Kedai bukan keperluan asas dan perniagaan tidak berkaitan pembekalan makanan diarah tutup.
  3. Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar.
  4. Hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
  5. Pita pelekat dilekatkan di atas lantai – lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan. Beratur hingga berpuluh meter ke luar kedai.
  6. Kekurangan stok penutup muka, gaun, dan sarung tangan untuk kegunaan pekerja barisan hadapan. Kekurangan alat bantuan pernafasan bagi pesakit kritikal.
  7. Sidang media dari Kementerian Kesihatan di keudarakan setiap hari jam 5.00 petang bagi mengemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia.
  8. Penjarakkan sosial sentiasa diutamakan. Bersalam tangan ditukar dengan meletak tangan di dada.
  9. Restoran dan kedai-kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus dan dibawa pulang sahaja. Food rider ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Ada juga yang kantoi membawa rokok seludup dan ketum.
  10. Kerajaan telah melaksanakan sekatan jalan di setiap kawasan dan tertutup kepada pergerakan yang tidak penting.
  11. Jalan raya menjadi kosong sunyi sepi tanpa kelibat manusia dan kenderaan selepas jam 8 mlm.
  12. Semua sekolah ditutup dan pendidikan dilaksanakan di atas talian. Kerja sekolah untuk murid dihantar dalam group WhatsApp. Printer menjadi barang keperluan.
  13. Setiap pesanan barangan secara online akan lewat sampai ke rumah kerana Poslaju, J&T dan lain-lain tidak cukup tangan untuk membuat penghantaran. Akibatnya ada beberapa kes tempahan mangga harum manis yang tiba kerumah dalam keadaan sudah terlalu masak ataupun dah mula rosak.
  14. Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerja – kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah.
  15. Tiada solat Jumaat sepanjang tempoh PKP. Tiada lagi jemaah di masjid dan rumah-rumah ibadat ditutup.
  16. Keseluruhan acara dan musim sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta. Aktiviti riadah dan bersenam dalam rumah. Konsert, perlancongan, festival, acara hiburan juga dibatalkan. Kawasan tumpuan di bukit bintang sunyi sepi tidak seperti sebelum ini yang sesak dan padat 24 jam.
  17. Pekerja perkhidmatan penting menjadi takut untuk keluar rumah dan pekerja kesihatan pula, menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga.
  18. Tidak dibenarkan berkumpul lebih daripada 50 orang, kemudian bilangan had maksima diturunkan kepada 20 orang, 10 orang dan akhirnya kurang daripada itu juga tidak dibenarkan. Jika didapati ingkar arahan, kompaun RM1,000 seorang akan dikenakan serta merta.
  19. Tiket kapal terbang lebih murah, namun tiada siapa yang membeli kerana ramai tidak boleh keluar melancong. Lapangan terbang menjadi sunyi.
  20. Harga minyak jatuh sehingga RM1.25/liter
  21. Lesen dan roadtax yang tamat tempoh dibenarkan untuk tidak diperbaharui, dengan syarat insurans kenderaan masih hidup.
  22. Banyak kilang-kilang pembuatan, kilang penyulingan dan perniagaan lain telah menukar perkhidmatan mereka dengan membantu menyediakan visors, penutup muka, cecair pencuci tangan dan PPE.
  23. Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis bersama keluarga juga tidak dibenarkan. Tapi mereka yang ingin berkahwin, diganti dengan nikah online (kadi mengadap pengantin melalui video call). Tak kurang juga ada yang akad nikah diluar pagar rumah tok kadi.
  24. PKP sepanjang bulan puasa. Tiada lagi bazar Ramadan dan tiada solat sunat terawih di masjid. Buffet Ramadan di hotel-hotel tidak dibenarkan. Majoriti penyedia buffet ramadan menukar konsep perniagaan mereka kepada pakej penghantaran makanan berbuka – contoh Bangi Golf Resort melancarkan BGR Speedmart
  25. Tiada sambutan Hari Raya Aidilfitri, anak-anak tidak boleh balik kampung berjumpa ibu bapa. Tiada juga ziarah menziarahi antara satu sama lain. Kurang kedengaran bunyi mercun dan tiada kes kecederaan akibat mercun.
  26. Ayat “Mendatarkan lengkung graf” sering diperkatakan, bersama juga ayat “Kita lakukan ini bersama” dan “Kita harus menang”.
  27. Sejurus PKPP dilaksanakan, bil elektrik melambung. Majoriti bagi pengguna yang bil elektrik menunjukkan peningkatan mendadak naik angin kerana sebelum ini bil yang diterima hanyalah bil anggaran. Sehinggakan TNB terpaksa menawarkan pembayaran ansuran dan campur tangan kerajaan yang memberikan diskaun RM77 untuk tiga bulan berturut-turut.

Ini adalah Novel Coronavirus ( Covid-19) suatu penyakit pandemik, yang diwartakan pada 18 March 2020


Written by Hafiz Rahim

Social geek. Ambassador of the Planet Vegeta and alliance to the Autobot.

One Comment

Leave a Reply

Leave a Reply to Tekkaus Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *