Hari demi hari aktiviti pembelian secara online semakin meningkat, ini kerana ramai pengguna peranti pintar lebih selesa untuk tidak keluar rumah dan hanya memilih untuk membeli barang secara online dan menunggu barang yang dipesan sampai ke rumah.
Namun, antara isu utama yang sering berlaku apabila membuat pembelian barang secara online adalah barangan yang dibeli lambat sampai ke rumah. Ada pembeli yang memerlukan barang yang dipesan untuk kadar segera, namun barang tersebut hanya tiba selepas beberapa minggu menunggu.
Tak dinafikan mungkin ada masalah dalaman yang timbul dalam syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran, akan tetapi penghantaran barangan yang dibeli sekiranya mengambil masa sangat lama untuk diterima tanpa sebab munasabah, akan mengundang kemarahan.
Untuk makluman, sekiranya perkara ini berlaku kepada anda.. anda boleh membuat aduan secara terus kepada pihak berkuasa SKMM.
Bagi tujuan tersebut, korang hanya perlu melayari laman ADUAN SKMM, dan memilih tetapan berikut:
- Memilih Complaint pada bahagian Jenis Aduan
- Memilih pula Postal/Courier Services pada bahagian Jenis Perkhidmatan
- Memilih Postal & Courier Service pada bahagian Kategori
- seterusnya, memilih Late Delivery pada bahagian Subkategori
Sejurus langkah ini ditetapkan, akan keluar pilihan nama pembekal perkhidmatan penghantaran yang hendak diadukan, anda boleh memilih penyedia perkhidmatan seperti Shopee Express, J&T, Pos Laju, dan pelbagai nama penyedia perkhidmatan lain lagi yang berkaitan.
Dengan melaporkan kesalahan penyedia perkhidmatan, ia akan membantu pihak berkuasa dalam mengambil tindakan terhadap penyedia perkhidmatan, dalam masa yang sama sekaligus ia memastikan hak pengguna terus terjamin dan terbela.