Alat penyaman udara merupakan alat elektrik yang sangat penting untuk kebanyakan rumah di negara yang beriklim tropika seperti negara kita ini. Cuaca panas dan hujan yang tidak menentu sepanjang tahun menyebabkan ramai pemilik rumah sangat bergantung pada alat penyaman udara untuk memberikan suasana rumah yang nyaman dan selesa untuk seisi keluarga.
Kebiasannnya, alat penyaman udara jenis unit pisah (split unit) menjadi pilihan untuk kegunaan di rumah kerana ia hanya memerlukan sekitar 10-15 minit untuk menurunkan suhu bilik, bergantung pada cuaca di luar. Tetapi, jika alat penyaman udara di rumah anda memerlukan masa yang lebih lama atau gagal untuk menurunkan suhu bilik seperti selalu, mungkin disebabkan oleh salah satu dari masalah berikut.
1. Penapis udara kotor
Penapis udara adalah bahagian pada alat penyaman udara yang paling cepat mengumpul habuk, tetapi paling mudah untuk dibersihkan sendiri. Jika anda dapati alat penyaman udara tidak mengeluarkan angin sejuk dengan lancar seperti sepatutnya, buka unit dalam dan periksa tahap kotoran pada penapis udara. Jadikan rutin mingguan untuk bersihkan penapis udara tersebut.
(Baca: How to Clean Your Air Conditioner Without Voiding Your Warranty)
2. Kondenser yang terhalang
Kondenser ialah unit yang terletak di bahagian luar rumah, dan memainkan peranan penting dalam proses menyejukkan udara sebelum dihembuskan semula ke dalam bilik. Jika kondenser dihalang oleh pokok-pokok renek atau terdapat kotoran yang terlalu tebal terkumpul padanya, ia tidak akan dapat berfungsi dengan efisien. Jadi sebagai tuan rumah, pastikan ruang sekitar kondenser lapang dan tidak dihalang oleh apa-apa.
3. Kehabisan gas penyejuk
Gas penyejuk atau refrigerant gas merupakan bahan yang diperlukan oleh setiap alat penyaman udara untuk melakukan tugasnya dalam menurunkan suhu bilik. Ramai yang menganggap gas penyejuk tidak perlu ditambah dengan kerap. Kenyataan ini benar jika tiada masalah kebocoran pada alat penyaman udara anda. Jika berlakunya kebocoran gas penyejuk, alat penyaman udara tidak akan dapat mengeluarkan udara yang sejuk dan nyaman. Kerosakkan ini perlu dibaiki dan gas penyejuk perlu ditambah semula oleh pakar servis aircon dengan segera.
4. Kerosakan pada termostat
Seringkali pengguna akan meletakkan suhu yang paling rendah pada alat kawalan jauh iaitu antara 16°C hingga 20°C pada hari yang terlalu panas. Tetapi ada kalanya selepas sesuatu tempoh, suhu di ruang tersebut tetap juga panas seperti sebelumnya. Terdapat kemungkinan yang termostat alat tersebut sebenarnya rosak, dan akibatnya ia gagal untuk mengikut suhu yang telah ditetapkan tadi.
5. Alat penyaman udara yang terlalu lama
Sesetengah alat penyaman udara masih boleh digunakan walaupun sudah berusia 10 atau 15 tahun jika ia sentiasa diservis dan diselenggara dengan baik. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan apabila alat itu semakin tua, prestasinya juga akan menurun. Jika anda mendapati yang alat penyaman udara anda terlalu kerap rosak atau gagal menurunkan suhu bilik seperti alat penyaman udara yang lain, mungkin sudah sampai masanya untuk ia digantikan dengan alat yang baru.
(Baca: Is Inverter Aircon Better Than Non-Inverter?)
6. Ruang yang terlalu luas
Ramai yang menganggap apabila lebih kecil kuasa kuda atau horse power (HP) alat penyaman udara itu, tahap penggunaan elektriknya juga akan lebih sedikit berbanding dengan alat yang berkuasa kuda lebih besar. Disebabkan itu, seringkali pemilik rumah sudah membuat keputusan yang salah dengan memilih alat penyaman udara yang kuasa kudanya tidak bersesuaian dengan saiz ruang di mana ia dipasang. Akhirnya, alat penyaman udara itu terpaksa bekerja lebih keras dan memerlukan tempoh yang sangat lama untuk menurunkan suhu di ruang tersebut.
Fungsi asal alat penyaman udara ialah untuk menurunkan suhu bilik, dan kegagalan alat itu untuk melakukan tugasnya dengan baik semestinya akan membuatkan pemilik rumah berasa kecewa. Jadi, pastikan alat penyaman udara anda sentiasa diservis oleh pakar penyaman udara agar ia sentiasa berfungsi dengan efisien.
Dapatkan perkhidmatan pakar servis penyaman udara yang boleh dipercayai dari Recommend.my. Dengan lebih 380 pakar penyaman udara di seluruh negara, anda tidak perlu menunggu lama untuk sampai giliran rumah anda. Nikmati caj tetap RM60 setiap unit jika anda tempah servis aircon dari Recommend.my (minimum dua unit).