in ,

Mini Karnival Sungai, Mendidik Orang Awam Tentang Kepentingan Menjaga Sungai


Tahap kesedaran masyarakat Malaysia tentang penjagaan alam sekitar masih rendah. Saban hari boleh dilihat orang-orang yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata walaupun pada zahirnya tong-tong sampah telah disediakan didepan mata.

Lebih menyedihkan lagi apabila kebersihan sungai-sungai juga tidak dipelihara, apabila ia sering digunakan sebagai jalan pintas untuk melupuskan sampah masing-masing.

Terpanggil untuk berkongsi maklumat tentang betapa pentingnya penjagaan sungai, baru-baru ini aku terlibat dengan satu acara yang diberi nama Mini River Carnival, dimana ia merupakan sebuah kempen kesedaran yang sering dianjurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia dengan kerjasama badan bukan kerajaan, Global Environment Centre (GEC).

Acara ini yang diadakan pada hari Ahad lalu di Plaza Batik, berhampiran dengan pintu masuk Masjid Jamek, telah berjaya menarik minat lebih daripada 200 warga kota Kuala Lumpur untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti berpendidikan sungai.

Penganjuran Mini Rivers Carnival ini yang merupakan sebahagian daripada usaha GEC untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang pentingnya pemuliharaan dan pemeliharaan sungai, terutamanya Sungai Klang yang kini diselia dibawah projek River of Life, selain berlangsungnya acara ini bagi menyambut Hari Sungai Sedunia tahun 2018.

Untuk makluman semua, Hari Sungai Sedunia adalah merupakan hari alam sekitar antarabangsa yang disambut setiap tahun pada hari Ahad, minggu ke-4 pada bulan September. Ia dimulakan pada tahun 1989 di British Columbia, Kanada, dimana pada hari tersebut merupakan hari untuk meningkatkan kesedaran awam dan menggalakkan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai.

Bercerita lebih lanjut mengenai acara mini karnival ini, iaitu berkenaan dengan tarikan utamanya yang dinamakan River Quest. Dimana para peserta yang hadir untuk menyertainya dikehendaki untuk “menjelajah dan meneroka” Sungai Klang dan Gombak, dan dalam masa yang sama mereka juga perlu menyelesaikan tugasan yang diberikan berdasarkan klu yang diberikan di stesen-stesen hentian.

Antara tugasan yang diberikan termasuklah mengenal pasti aktiviti pengindahan serta mitigasi sungai, dan juga mengesan produk-produk yang mempunyai pembungkusan mesra alam.

Manakala bagi pengunjung kanak-kanak pula, mereka diperkenalkan dengan program Saintis Muda Sungai dimana melalui program ini mereka didedahkan dengan pembelajaran yang menyeronokkan mengenai kepentingan sungai dan kualiti air yang bersih, di samping turut boleh terlibat dalam beberapa permainan yang berkonsepkan alam sekitar.

Selain itu, aktiviti lain yang turut diadakan adalah sesi penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang River Quest, cabutan bertuah, pertunjukan badut serta taklimat ringkas mengenai acara ini yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai JPS Malaysia, Wan Marhafidz Shah Wan Mohd Omar.

Antara beberapa fakta menarik yang mana bagi pendapat aku tidak ramai mengetahuinya, ialah:

  1. 97% daripada sumber air minuman kita adalah berpunca dari sungai.
  2. dan, dianggarkan lebih kurang RM500,000 dibelanjakan oleh kerajaan setiap bulan bagi mengutip sampah yang terkumpul di perangkap sampah.

Di pengakhiran acara Mini Rivers Carnival ini, ia turut menyaksikan perasmian Rakan Lembangan Sungai Klang yang merupakan sebuah jaringan komuniti yang terletak dalam lembangan Sungai Klang. Mereka ini bergerak aktif dalam pemantauan kebersihan Sungai Klang dan anak-anak sungainya.

Sebagai tambahan, sekiranya korang juga seorang yang cakna tentang penjagaan alam sekitar. Bolehlah memuat turun aplikasi telefon mudah alih, ROL Citizen’s Eye, dimana aplikasi ini sebenarnya dibina bagi tujuan memudahkan orang awam membuat laporan secara terus kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku pencemaran dikawasan sekeliling korang.

Nota: Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek River of Life, korang boleh layari www.water.gov.my, ataupun sekiranya korang berminat untuk mengetahui juga tentang program-program lain yang dianjurkan oleh Global Environment Centre (GEC), korang boleh layari laman web rasmi mereka di www.gec.org.my.


Written by Hafiz Rahim

Social geek. Ambassador of the Planet Vegeta and alliance to the Autobot.

9 Comments

Leave a Reply
  1. Merupakan program yg sangat baik bagi memupuk kesedaran kecintaan terhadap alam sekitar terutama sungai di kalangan anak2 muda…sangat bermanfaat dan sungguh awesome…..terbaik

Leave a Reply to Siti Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *